Klik untuk berkunjung

Klik untuk berkunjung
Sebuah karya e-novel interaktif

Wednesday, May 20, 2009

Tips untuk rumahtangga yang aman dan berkekalan



Setiap orang mengimpikan rumahtangga yang bahagia dan kekal berpanjangan, tetapi mengapa kadang-kala kita merasa amat sukar untuk mengekalkan kebahagian dan keindahan hidup berumahtangga.

Apakah punca keretakan rumah-tangga:

1. Kurang sifat saling mempercayai satu sama lain

2. Terlalu mementingkan keseronokan pada permulaan perkahwinan, hingga lupa tanggung-jawab dan gelora hidup berumah-tangga

3. Lebih mementingkan kerjaya atau mengejar kekayaan hingga mengabaikan rumahtangga dan keluarga

4. Campur-tangan pihak ketiga sama ada ibu-bapa, saudara-mara, rakan-rakan, mahupun dengan terlibat dengan kekasih baru atau skandal

5. Kekurangan diri sama ada mempengaruhi gerak-laku salah seorang dari pasangan secara fizikal, emosi atau seksual.

6. Tidak berkomunikasi dengan sempurna. Ia bermula dengan perselisihan kecil, tetapi apabila tidak diambil-berat dari awal lagi, membawa kepada perbalahan yang tidak dapat diperbaiki.

Antaranya adalah dengan:
- tidak menghormati pendapat pasangan dengan menunjukkan sifat lebih pandai atau lebih tahu

- salah sangka dari sesuatu perkataan atau perbuatan

- menutup "pintu" perdamaian melalui sesuatu perkataan (seperti menyuruh diam) atau tindakan (seperti meninggalkan pasangan semasa perbalahan), ataupun dengan mengelak perbincangan secara langsung (mengubah topik atau menjauhkan diri)


7. Jemu dengan rutin yang sama menyebabkan seseorang mencari keseronokan di luar melalui hubungan sulit atau aktiviti lain yang mencabar, hingga mengabaikan tanggungjwab kepada pasangan atau keluarga


Apakah cara mengatasinya:

1. Membuat persiapan secara fizikal, mental dan ruhani sebelum memulakan pelayaran bahtera perkahwinan meredah badai ribut lautan godaan dan dugaan yang bergelora dan tiada penghujung

2. Komunikasi, komunikasi dan komunikasi. Elakkan retak dari menjadi belah yang tidak boleh disambung lagi dan berakhir dengan cerai-berai. Binalah sifat saling mempercayai dan saling berkongsi fikiran, perasaan dan buah-fikiran ketika menghadapi sesuatu masalah atau kesukaran

3. Pupuklah cinta dan kasih-sayang seperti setiap hari adalah malam pengantin anda. Jangan jadikan anak-anak sebagai alasan. Cari peluang untuk anda bersama memadu kasih bagi mengeratkan cinta.

4. Berkongsi masa-lapang, menyelesaikan masalah dan berkongsi masa yang penting bersama, dan jadikan ia satu kebiasaan

5. Berkongsi kegembiraan dan kesukaran, pada masa senang atau susah, hingga ke akhir hayat

6. Anda tidak boleh menjadi muda semula, tetapi anda boleh mencari jalan untuk melambatkan proses penuaan, dengan menjaga kesihatan badan secara fizikal dan seksual untuk mengukuhkan kasih sayang meredah usia

7. Cari jalan untuk mengukuhkan ruhani anda kerana itu jalan paling mudah untuk membenteng diri dari godaan nafsu yang tiada bertepi dan penghujung, dan tipu-daya makhluk yang memang telah bersumpah untuk menyesatkan umat manusia di dunia ini.
Sesungguhnya kita hanya mampu merancang, tetapi jika semuanya telah ditakdirkan untuk berakhir, maka hadapilah dengan penuh kesabaran dan keyakinan untuk menempuh masa depan.

Tips untuk perancangan video majlis perkahwinan anda

Keistimewaan video perkahwinan anda bukan terletak pada kehebatan teknologi atau teknik visual yang digunakan, tetapi pada kesempurnaan ia mengabadikan suasana penuh emosi dan dramatik itu.

Antara perkara yang anda boleh bincangkan dengan juruvideo anda:

1. Berapa video kamera yang akan digunakan. Yang pastinya satu kamera tidak cukup untuk mengabadikan kemeriahan di tempat anda dan pasangan anda dan reaksi para hadirin yang datang

2. Jika anda mahu video anda kelihatan seperti klip video Charlie Chaplin, anda tidak perlukan audio yang bagus. Audio juga memain peranan untuk mengabadikan emosi dan suasana di hari tersebut. Jika penyunting dapat mengawal bunyi yang bingit dalam klip video anda, menjadikan ia lebih menyenangkan dengan adunan muzik latar, itu adalah lebih baik.

3. Pengcahayaan juga amat penting kerana video yang kelam akan menghilangkan mood ceria dan dramatik. Jika juruvideo anda ada sistem pengcahayaan tambahan, itu adalah lebih baik

4. Juruvideo yang profesional tahu mengabadikan emosi dan reaksi para hadirin dengan spontan dan tidak dibuat-buat. Ini akan menambah nilai video rakaman majlis anda

5. Pastikan footage yang cukup dibuat untuk persiapan sebelum, semasa, dan diakhir majlis anda. Footage sebelum akan merakamkan build-up untuk emosi video anda. Anda tentu ingin melihat seluruh peristiwa sepanjang perjalanan majlis anda dari pandangan orang ketiga, kerana pada masa itu anda sedang gementar dan gemuruh dalam memastikan semua berjalan lancar. Footage akhir majlis akan memberikan impak akhir dan berpanjangan sebagai tanda termaktubnya majlis anda yang bersejarah itu.

6. Perjalanan video dari awal hingga akhir juga amat penting, kerana satu atau dua babak membosankan (seperti ucapan bapa pengantin yang panjang atau karaoke Pak Usu yang sumbang) akan mematikan "kick" video itu. Suntingan yang "short & sweet" adalah yang paling baik.

7. Pastikan juruvideo anda sentiasa diberitahu jika ada perubahan rancangan di saat terakhir, atau mungkin anda akan kehilangan footage penting dalam rakaman video anda nanti.
Mutu video rakaman anda biasanya setimpal dengan bayaran yang anda berikan. Jadi janganlah harapkan hasil yang istimewa jika anda tidak sanggup mengeluarkan modal yang setimpal. Walaubagaimanapun, komunikasi anda dan juruvideo anda penting untuk memastikan beliau berfikir seperti anda dan dapat merakam senario seperti yang and inginkan.

Persiapan menjelang hari perkahwinan

Semakin hampir kepada hari penting dalam hidup anda, semakin ghairah dan tidak sabar rasanya menunggu hari tersebut. Tetapi bagaimana persiapan anda menjelang hari tersebut? Kadang-kala terasa risau juga manalah tahu ada yang tertinggal.

Di sini diberi beberapa tips untuk anda periksa dan ingatkan diri anda:

1. Kad jemputan untuk para hadirin. Pastikan semua yang penting dalam hidup anda telah anda jemput, kerana ini hari yang penting dalam hidup anda dan anda tidak mahu mereka ketinggalan berkongsi dengan anda.

2. Bajet yang mencukupi. Bak kata pepatah ukur baju di badan sendiri. Jangan pula kerana terlampau mementingkan hari yang bahagia ini, anda terpaksa menanggung beban di kemudian hari.

3. Jaga hati pasangan anda. Jangan terlalu mementingkan hati dan perasaan anda sahaja. Anda perlu ingat ini hari yang penting untuk dirinya juga. Tolak-ansur amat penting menjelang hari yang amat bersejarah ini. Jika anda sukar untuk mengambil-hati pasangan anda sekarang, bagaimana anda hendak melakukannya bila sudah bersama nanti?

4. Jangan lupa berbincang di mana untuk berbulan madu nanti. Hotel yang mahal atau suite yang mewah bukan syarat utamanya. Yang penting anda ingin menghabiskan saat-saat manis penyatuan anda berdua di gerbang perkahwinan bersama dalam suasana yang romantis dan intim, tidak kira di mana jua.

5. Kalau anda ingin abadikan saat-saat bahagia anda bersama dengan para tetamu yang begitu ramai lebih dari sekadar melihat foto-foto, jangan lupa dapatkan khidmat professional untuk membuat video album untuk anda. Anda boleh mainkannya lagi dan lagi hingga ke anak cucu anda nanti.

6. Jangan lupa menjaga adab dan pantang-larang sebelum hari penting anda. Semuanya ada hikmah dan kebaikan yang tersembunyi di sebaliknya.

7. Jangan lupa menjaga kesihatan diri anda dari segi fizikal dan mental, kerana anda tidak mahu terlepas kemeriahan hari tersebut kerana gangguan kesihatan anda. Jangan lupa juga memohon kepada Yang Maha Kuasa agar semuanya berjalan lancar dan perkahwinan anda akan bahagia berpanjangan hingga ke akhir hayat

Panduan memilih pasangan hidup

Mencari pasangan hidup bukanlah perkara mudah, kerana tersilap langkah anda terpaksa menaggung akibat penderitaannya. Bagaimanakah untuk memastikan anda tidak membuat kesilapan. Tiada jalan mudah untuk penyelesaian masalah ini, tetapi ada beberapa perkara yang boleh anda cuba untuk mengetahui pasangan anda lebih mendalam sebelum menjalin sebarang ikatan kekal...

Antaranya adalah:

1. Memiliki sesuatu minat yang sama. Memang sukar untuk mencari pasangan yang memiliki minat yang 100% sama seperti anda, tetapi satu atau dua minat sudah mencukupi untuk memudahkan anda menjalani aktiviti ini bersama selepas hidup bersama nanti untuk mengeratkan hubungan anda berdua.

2. Memiliki kebolehan yang tidak anda miliki tetapi ingin ada. Ini peluang baik untuk anda, kerana anda akan dapat mempelajarinya dari guru yang sentiasa dengan anda selama 24 jam, di samping mengeratkan kasih-sayang antara anda berdua.

3. Memiliki nilai dan prinsip hidup yang sama dengan anda. Lebih mudah untuk mengetahui keserasian anda berdua sebelum hidup bersama, daripada sentiasa dalam konflik selepas berkahwin.

4. Tidak terlibat dengan sikap negatif seperti panas baran, ketagihan atau jenayah, dan tabiat buruk yang tidak anda senangi. Sekiranya anda mempunyai kesungguhan yang kuat untuk merubah diri pasangan anda, maka ini bukan masalah besar untuk anda. Jika tidak, lebih baik anda mengelakkan diri sebelum terjebak dengan masalah itu sebelum terlambat.

5. Sukar untuk mencari pasangan yang sempurna, tetapi jika anda dapat seorang yang optimis, penyabar, pandai berjenaka dan suka mencuba sesuatu yang baru dan mencabar, maka itu boleh dikira bonus untuk anda

6. Jangan lupa untuk mencari seorang yang memiliki ilmu agama yang cukup untuk menjalani hidup bersama, di samping anda mencukupkan diri anda, kerana matlamat perkahwinan bukan untuk keseronokan dunia semata-mata, tetapi juga untuk membimbing keluarga yang sempurna.

7. Kehidupan ini sesuatu yang penuh dengan misteri dan sesuatu yang bukan boleh diduga. walaupun setelah anda mencuba sebaik mungkin untuk mencari pasangan yang sesuai dan serasi dengan anda, itu bukan menjamin anda akan berjaya 100%. Diakhir proses itu anda perlu mengikut naluri dan gerak-rasa anda, disamping tidak lupa meminta petunjuk dari Yang Maha Mengetahui.